29
Sun, Mar

SEJARAH TERCIPTA : STAR TEAM MARITIM MALAYSIA JULUNG KALINYA ANJUR KURSUS ASAS KOMANDO

KUANTAN, 4 OGOS – Sejarah baharu dilakar dalam lipatan strategik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) apabila buat pertama kalinya sejak penubuhannya 20 tahun lalu, Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team) mengendalikan sepenuhnya Kursus Asas Komando STAR Team Siri 1/2025. Ia merupakan satu detik penting dalam pembentukan keupayaan tempur dalaman agensi ini.

Seramai 15 peserta terpilih – terdiri daripada dua orang pegawai dan 13 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) – berjaya melepasi saringan akhir daripada 50 peserta yang sebelum ini telah mengikuti Kursus Pemilihan dan Pra Penilaian pada 17 hingga 21 Januari lalu. Mereka kini bersedia menempuh latihan intensif yang menguji kecekalan fizikal, mental dan jiwa patriotik di Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (AMSAS), Kuantan.

Majlis perasmian Malam Jati Diri Pembukaan Kursus disempurnakan oleh Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Haji Mohd Rosli bin Abdullah yang menegaskan bahawa penganjuran ini merupakan satu manifestasi jelas komitmen kepimpinan tertinggi dalam memperkasa STAR Team sebagai Special Force bertaraf nasional, setanding pasukan khas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Ini bukan sekadar kursus. Ia adalah medan penempaan jiwa kental, disiplin luar biasa dan keberanian mutlak acuan sebenar seorang anggota STAR,” tegas beliau.

Lebih membanggakan, kursus ini akan dikendalikan sepenuhnya oleh 10 jurulatih bertauliah dari kalangan pegawai dan anggota STAR Team sendiri, menjadikannya satu benchmark baru dalam keupayaan latihan dalaman Maritim Malaysia.

Turut hadir memberikan sokongan solidariti kepada STAR Team ialah Timbalan Ketua Pengarah (Logistik), Laksamana Madya Maritim Datuk Haji Saiful Lizan bin Ibrahim; Pemangku Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Laksamana Muda Maritim Mohd Zawawi bin Abdullah; Panglima PASKAU, Brigadier Jeneral Mohd Zairul Hisham Bin Muhamad Ibrahim TUDM; Wakil Panglima PASKAL, Komander Maznan Bin Mohd Said TLDM; serta Komander STAR Team, Kepten Maritim Syuzefril Bin Mat Noor.

Selama empat bulan, para peserta akan digilap dalam pelbagai modul taktikal dan ekstrem meliputi operasi penyelamatan maritim berisiko tinggi, peperangan asimetri, serta misi-misi kritikal khas sekali gus menuntut ketahanan, semangat setiakawan, kepimpinan medan dan keberanian luar jangka.

Maritim Malaysia bukan sahaja menambah barisan elit pertahanan perairan negara, malah membuktikan bahawa keupayaan melatih sendiri pasukan khas kini telah menjadi satu kenyataan yang menjulang kebanggaan Maritim Malaysia.

STAR Team bukan lagi hanya simbol kekuatan taktikal, tetapi lambang kedaulatan, kehormatan dan kepercayaan negara di lautan biru.

KURSUS KOMANDO3
 
KURSUS KOMANDO5
 
KURSUS KOMANDO6
 
KURSUS KOMANDO7

hrmis JPA kkdnlogo KSN logo mampu MDEC MyGov SPA tourism malaysia cropped logo SPRM AMSAS
 
APLIKASI ICON    KERJAYA ICON BLUE   ONLINE SISTEM ICON    SEAHAWK ICON BLUE    VIDEO ICON   VIDEO MEDIA BLUE   VIDEO ICON