SANDAKAN, 21 JULAI – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Sandakan telah menahan sebuah bot kumpit yang disyaki cuba menyeludup keluar pelbagai barangan ke negara jiran tanpa dokumen pengisytiharan yang sah dalam satu operasi penguatkuasaan maritim yang dijalankan pada lewat malam tadi.
Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Muhamad Suhairy bin Hussain berkata,bot berkenaan ditahan sekitar 0.8 batu nautika dari perairan Tanjung Aru, Sandakan selepas dikesan bergerak dalam keadaan mencurigakan menuju ke perairan negara jiran.
“Hasil pemeriksaan awal mendapati, bot tersebut dikendalikan oleh seorang nakhoda dan tujuh kru warga asing berumur antara 27 hingga 50 tahun yang gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah,” jelas beliau.
Siasatan turut mendapati, bot tersebut membawa enam orang penumpang terdiri daripada empat lelaki serta dua orang wanita dipercayai warga negara jiran masing-masing berusia 16 hingga 41 tahun .
Pemeriksaan lanjut turut mendapati bot tersebut membawa muatan 250 tong biru berisi kira-kira 50,000 liter minyak petrol, 15 tong berisi kira-kira 3000 liter minyak diesel serta 120 tong gas pelbagai jenama. Keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai hampir RM830 ribu.
Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1962, Ordinan Perkapalan Saudagar 1952, dan Akta Imigresen 1959/63, kerana disyaki melakukan kesalahan berkaitan penyeludupan barangan kawalan, serta pengendalian vesel tanpa dokumen sah dan kemasukan individu tanpa permit yang sah.
“Tangkapan ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Maritim Malaysia dalam membanteras kegiatan penyeludupan serta menjaga keselamatan perairan negara,” Suhairy.
Beliau turut menggesa orang ramai agar menyalurkan sebarang maklumat mengenai aktiviti penyeludupan atau jenayah maritim terus ke Pusat Operasi Maritim Sandakan di talian 089-222519 atau kecemasan 999 agar tindakan segera dapat diambil.











