SUNGAI PULAI, 11 JULAI – Tindakan pantas Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team) Maritim Malaysia berjaya menyelamatkan lima anggota Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis Diraja Malaysia (PDRM) selepas helikopter yang dinaiki mereka melakukan pendaratan cemas semasa Eksesais Keselamatan Rentas Sempadan MITSATOM 2025, semalam.
Insiden berlaku ketika latihan medan (Field Training Exercise) yang turut disertai pasukan keselamatan dari Indonesia, Thailand dan Singapura. Ketika suasana panik, 10 anggota STAR Team bertindak sebagai penyelamat pertama (first responder), terjun ke laut dan membawa semua mangsa ke bot keselamatan terdekat.
Pasukan diketuai oleh Timbalan Skuadron Gempur STAR Team Semenanjung, Leftenan Madya Maritim Nur' Mohd Farhan bin Mohd Hamil itu menunjukkan tahap keberanian dan profesionalisme tinggi dalam menyelamatkan kesemua mangsa tanpa sebarang kehilangan nyawa.
Tindakan STAR Team Maritim Malaysia membuktikan kesiapsiagaan dan kecekapan Maritim Malaysia dalam mengurus situasi kecemasan serta komitmen menjaga keselamatan perairan negara.













