BINTULU, 25 APRIL – Tindakan tidak bertanggungjawab sebuah Vesel Nelayan Tempatan (VNT) kelas C yang melanggar syarat sah lesen membawa padah apabila ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Bintulu dalam satu rondaan khas, semalam.
Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kepten Maritim Muhammad Suffian Eldine bin Abdullah berkata, bot terbabit dikesan melakukan aktiviti perikanan di kedudukan kira-kira 10.2 batu nautika dari Pantai Penipah, pada sekitar jam 7.00 pagi ketika rondaan OP TIRIS 3.0 dan OP PERMAI 01/2019.
Hasil pemeriksaan awal mendapati bot berkenaan telah menangkap ikan di zon larangan, iaitu kurang daripada 12 batu nautika dari pantai, yang jelas melanggar syarat lesen perikanan yang ditetapkan, katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bot berkenaan dikendalikan enam kru warga tempatan termasuk nakhoda, berumur di antara 28 hingga 54 tahun, yang kini ditahan untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat lesen, yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM20 ribu atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Bot bersama kru telah diiring ke Pusat Tahanan Vesel (PTV) Zon Maritim Bintulu sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan selanjutnya.
Dalam pada itu, Maritim Malaysia menegaskan komitmennya untuk terus memperketat kawalan serta penguatkuasaan undang-undang di perairan negara bagi memastikan sumber perikanan negara tidak dieksploitasi secara haram.
Maritim Malaysia menyeru komuniti nelayan agar sentiasa mematuhi undang-undang yang ditetapkan dan mengutamakan keselamatan ketika berada di laut. Sebarang pelanggaran tidak akan dikompromi, tambah Muhammad Suffian.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan atau kejadian kecemasan di laut boleh menyalurkannya segera ke talian kecemasan 999 atau menghubungi Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Bintulu di 086-314 254 dan Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak di 082-432 544.











