PORT DICKSON, 23 APRIL – Tindakan tegas dan berterusan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dalam membanteras aktiviti penyeludupan terus membuahkan hasil apabila dadah dan daun ketum bernilai lebih RM600 ribu berjaya dilupuskan, pagi tadi.
Pelupusan melibatkan 14.05 kilogram dadah jenis cannabis dan methamphetamine serta 532.8 kilogram daun ketum itu dilakukan dengan kerjasama strategik bersama Syarikat Cenviro Sdn. Bhd. menggunakan kemudahan pembakaran berteknologi tinggi (incinerator) yang mematuhi piawaian keselamatan dan alam sekitar.
Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Maritim Malaysia, Encik Nor Hisham bin Ibrahim berkata, pelupusan berkenaan dibuat setelah mendapat perintah pelucutan hak daripada Mahkamah, susulan kejayaan operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis yang dijalankan pada tahun 2021, 2023 dan 2024.
“Setiap bahan rampasan ini adalah bukti nyata bahawa perairan negara bukan laluan mudah untuk aktiviti penyeludupan.
“Kami akan terus memperketat rondaan, khususnya di kawasan sempadan Malaysia-Thailand yang sering menjadi lokasi cubaan penyeludupan dadah masuk ke negara ini,” tegas beliau.
Tambah Nor Hisham, kaedah pelupusan yang digunakan bukan sahaja selamat, malah mencerminkan komitmen Maritim Malaysia dalam menjaga keselamatan awam dan kelestarian alam sekitar.
Turut hadir, Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli bin Mustafa; Pengarah Bahagian Pengurusan Aset APMM, Encik Ilham bin Udin; Timbalan Pengarah Pengurusan Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Encik Norazlan bin Yahaya dan National Sales Manager Cenviro Sdn. Bhd, Encik Ruslee bin Abd Jalil.
Terdahulu, beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan proses ini dan menegaskan bahawa Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti jenayah maritim.
“Ini bukan sekadar pelupusan. Ini adalah mesej jelas kepada sindiket – perairan kita sentiasa dipantau,” katanya lagi.












