MERSING, 10 MAC – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Mersing menahan tiga buah bot penumpang yang didapati membawa penumpang melebihi had dibenarkan sekitar jarak satu batu nautika Muara Kuala Mersing,clebih kurang pukul 1.00 petang, semalam.
Pengarah Zon Maritim Mersing, Komander Maritim Suhaizan bin Saadin berkata, bot-bot tersebut ditahan dalam OP BERSEPADU antara Maritim Malaysia dan Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) sempena pembukaan balik aktiviti pelancongan di kawasan taman laut Mersing selepas musim Monsun.
Hasil pemeriksaan mendapati, tiga buah bot penumpang membawa penumpang melebihi dari syarat dan disiasat di bawah Peraturan Bot 1953.
Menurut beliau, tindakan segelintir pengusaha yang mengabaikan syarat-syarat sah lesen seperti membawa penumpang melebihi kapasiti boleh mengundang risiko bahaya dan kehilangan nyawa pada bila-bila masa.
“Kami memandang serius isu ini dan akan mempertingkatkan rondaan di kawasan-kawasan aktiviti pelancongan bagi memastikan keselamatan pelancong serta mencegah daripada sebarang insiden tidak diingini,” tambahnya.
Bot tersebut telah ditahan dan diiring ke Jeti Maritim Mersing untuk siasatan lanjut.
Maritim Malaysia menegaskan komitmen dalam memastikan pematuhan undang-undang serta keselamatan perairan negara, khususnya di kawasan pelancongan yang menjadi tumpuan orang ramai.










