22
Wed, Apr

KEGIATAN TANGKAP SIPUT HARAM MASIH BERLELUASA, MARITIM MALAYSIA TEGAS AMBIL TINDAKAN

KUALA PERLIS, 10 FEBRUARI – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Perlis terus memperketat penguatkuasaan terhadap aktiviti penangkapan hasil laut secara haram apabila berjaya menahan sebuah Vesel Nelayan Tempatan (VNT) tanpa nombor pendaftaran di perairan Kuala Perlis, pagi semalam.

Menurut Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Hashim bin Mat Zain, vesel tersebut dikesan kira-kira 0.7 batu nautika dari pesisir pantai ketika sedang leka menangkap siput menggunakan sangkar besi.

Hasil pemeriksaan mendapati, vesel yang berpangkalan di Kuala Perlis itu dikendalikan oleh seorang tekong dan seorang awak-awak, kedua-duanya warga tempatan berusia 26 dan 36 tahun.

“Walaupun pihak kami telah memberi amaran serta kerap melakukan rondaan dan tangkapan, aktiviti menangkap siput secara haram masih berleluasa. Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar undang-undang,” tegasnya.

Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985, Seksyen 8(b) kerana melanggar syarat lesen dan Seksyen 11(3)(c) kerana memasang peralatan menangkap ikan tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan Malaysia. Jika disabit kesalahan, mereka boleh dikenakan tindakan tegas termasuk denda atau hukuman lebih berat.

Vesel, peralatan menangkap siput, serta hasil tangkapan dianggarkan bernilai lebih RM6 ribu telah dirampas dan dibawa ke Jeti Operasi Zon Maritim Kuala Perlis untuk siasatan lanjut. Kedua-dua suspek turut ditahan bagi membantu siasatan.

Dalam pada itu, Maritim Malaysia mengingatkan semua pengusaha perikanan supaya mematuhi peraturan sedia ada demi kelestarian ekosistem marin.

“Aktiviti menangkap siput sememangnya menjadi sumber ekonomi bagi sebahagian masyarakat, namun ia perlu dilakukan secara bertanggungjawab. Orang ramai dinasihatkan untuk mendapatkan maklumat dan kebenaran daripada Jabatan Perikanan Negeri Perlis sebelum menjalankan sebarang aktiviti perikanan,” tambahnya.

Maritim Malaysia turut menyeru orang awam agar melaporkan sebarang kegiatan jenayah maritim termasuk penyeludupan dan aktiviti perikanan haram. Sebarang aduan atau kecemasan di laut boleh disalurkan terus ke Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Perlis di talian 04-9851072 atau 04-9851162, atau menghubungi talian kecemasan 999.

 

 TANGGUK SIPUT LG
 
TANGGUK SIPUT LG4
 
TANGGUK SIPUK LG2
hrmis JPA kkdnlogo KSN logo mampu MDEC MyGov SPA tourism malaysia cropped logo SPRM AMSAS
 
APLIKASI ICON    KERJAYA ICON BLUE   ONLINE SISTEM ICON    SEAHAWK ICON BLUE    VIDEO ICON   VIDEO MEDIA BLUE   VIDEO ICON