KUANTAN, 8 FEBRUARI – Maritim Negeri Pahang telah melaksanakan misi Medical Evacuation (MEDEVAC) bagi membawa seorang kanak-kanak lelaki mengalami masalah Viral Pneumonia (jangkitan kuman pada paru-paru) dari Klinik Kesihatan Tekek, Pulau Tioman yang memerlukan rawatan segera di Hospital Mersing, petang tadi.
Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Haji Mazlan bin Mat Rejab berkata, misi bantuan itu telah dilaksanakan oleh aset kapal Pos Maritim Teluk Gading iaitu KMRENTAP setelah Maritime Rescue Sub Center (MRSC) Kuantan menerima panggilan kecemasan dari doktor Klinik Kesihatan Tekek pada sekitar pukul 11.30 pagi tadi.
Pesakit, adik Ariq Nufail bin Samat, 4 tahun 4 bulan bersama empat orang ahli keluarga serta seorang doktor kesihatan telah selamat tiba di Jeti Pos Maritim Teluk Gading pada pukul 6.00 petang, sebelum dipindahkan ke ambulans untuk dikejarkan ke Hospital Mersing bagi mendapatkan rawatan.













