LANGKAWI, 7 FEBRUARI – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kedah dan Perlis berjaya menahan dua buah Vesel Nelayan Tempatan (VNT) yang disyaki melakukan aktiviti menangkap ikan kurang daripada 15 batu nautika dalam satu rondaan rutin OP AMAN, OP TIRIS 3.0 dan OP GUARD 4.0 di kedudukan lebih kurang 9.0 batu nautika Barat Tanjung Belua pada pukul 4.00 petang semalam.
Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli bin Mustafa berkata, dua buah vesel terbabit bersama dua orang tekong dan enam orang kru warganegara Thailand berkenaan ditahan oleh bot ronda Maritim Malaysia ketika sedang melakukan aktiviti menangkap ikan kurang daripada 15 batu nautika.
“Hasil pemeriksaan mendapati, kedua-dua vesel berkenaan melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu melakukan aktiviti menangkap ikan kurang daripada 15 batu nautika dan di bawah Akta Imigresen 1959/63 iaitu mengemukakan dokumen pengenalan diri yang meragukan,” jelas beliau.
Ujar Romli lagi, anggaran keseluruhan nilai rampasan termasuk hasil tangkapan seberat 800kg berjumlah lebih RM1 juta dan kesemua vesel berserta barang kes dan kru ditahan dan dibawa ke jeti APMM Langkawi untuk siasatan lanjut.
Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang dan sentiasa komited dalam meneruskan pengoperasian serta rondaan di sepanjang Zon Maritim Malaysia bagi mengekang aktiviti haram di perairan negara.
Sekiranya terdapat sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut, orang ramai diminta melaporkan ke talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Kedah & Perlis di talian 04-9662750 untuk tindakan segera.













