KUALA PERLIS, 6 FEBRUARI – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Perlis berjaya merampas sebuah vesel nelayan asing (VNA) yang ditinggalkan tanpa pemilik dan nombor pendaftaran berhampiran Jeti Nelayan Kampung Seberang Ramai, Kuala Perlis, awal pagi semalam.
Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Hashim bin Mat Zain, memaklumkan bahawa bot ronda agensinya yang sedang menjalankan rondaan dalam Operasi Aman (OP AMAN) dan Operasi Tiris (OP TIRIS) menerima maklumat risikan sebelum mengesan sebuah bot fiber dalam keadaan mencurigakan.
“Hasil pemeriksaan mendapati bot tersebut ditinggalkan dalam keadaan mencurigakan, dipercayai setelah pemiliknya melarikan diri ke daratan sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa,” jelas beliau.
Ujar Hashim lagi, pemeriksaan lanjut ke atas bot berkenaan mendapati ia telah diubah suai dengan ruangan khas yang disyaki digunakan untuk menyimpan minyak diesel. Dua paip hos yang masih mempunyai kesan minyak diesel turut ditemui, dipercayai digunakan bagi aktiviti keluar masuk bahan api tersebut.
Beliau turut menambah, anggaran keseluruhan nilai rampasan berjumlah lebih RM70 ribu dan kesemua barang kes telah dibawa ke Jeti Operasi Zon Maritim Kuala Perlis untuk tindakan lanjut oleh pegawai penyiasat.
Kes akan disiasat di bawah Seksyen 8(a) Akta Perikanan 1985, iaitu kesalahan mengendalikan atau membenarkan pengendalian vesel penangkapan ikan tanpa lesen yang sah di perairan Malaysia. Kes berkenaan turut disiasat mengikut Peraturan 18 Peraturan-Peraturan Perikanan (Kelautan), yang melarang vesel penangkapan ikan daripada membawa penumpang atau kargo.
Maritim Malaysia menyeru orang ramai agar menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan atau jenayah maritim bagi memastikan keselamatan perairan negara terus terpelihara. Sebarang laporan atau kecemasan di laut boleh disalurkan kepada Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Perlis di talian 04-9851072 atau 04-9851162, selain talian kecemasan 999 untuk tindakan segera.












