PUTRAJAYA, 21 JANUARI – Hari kedua Asia International Security Summit and Expo 2025 (AISSE'25) terus menjadi tumpuan, dengan reruai Kementerian Dalam Negeri (KDN) mencuri perhatian melalui pameran aset-aset keselamatan terkini, termasuk Mobile Surveillance Unit (MSU) milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).
MSU, yang dilengkapi dengan sistem pengawasan jarak jauh, mampu memberikan respons pantas terhadap sebarang ancaman keselamatan yang berlaku di kawasan sukar dikesan oleh Sistem Pengawasan Laut (SWASLA).
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ketika mengadakan lawatan ke reruai peserta AISSE’25, turut diberikan taklimat oleh pegawai Maritim Malaysia berkenaan kemampuan MSU dalam melakukan operasinya selepas program ucaptama yang disampaikan beliau pada persidangan berkenaan pagi tadi.
Turut hadir mengiringi sesi lawatan beliau, Timbalan Ketua Polis Negara, DIG Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay dan pegawai-pegawai kanan KDN.
Selain pameran aset milik jabatan dan agensi di bawah KDN, reruai Kementerian turut menawarkan pelbagai aktiviti interaktif dan maklumat berkenaan jabatan dan agensi di bawah KDN.













