ROMPIN, 13 DISEMBER – Seorang pesakit lelaki yang mengalami luka parah di bahagian kaki sehingga menampakkan tulang dan tendon serta mengakibatkan pendarahan yang serius akibat tertusuk kaca memerlukan rawatan segera di Klinik Kesihatan Tekek, Pulau Tioman telah dibawa ke Hospital Rompin, Pahang dengan bantuan aset laut Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pahang, pada petang semalam.
Misi bantuan Medical Evacuation (MEDEVAC) telah dilaksanakan aset ronda Pos Maritim Teluk Gading, Rompin iaitu KM TATAU setelah menerima panggilan daripada doktor Klinik Kesihatan Tekek sekitar pukul 11.15 pagi.
Pesakit, Mohamad Aizrul Naim bin Musa, 20 tahun mengalami luka besar dan pendarahan serius perlu mendapatkan rawatan segera di Hospital Rompin.
Pesakit yang turut diiringi oleh staf kesihatan tiba di Jeti Pos Maritim Teluk Gading pada pukul 5.54 petang, seterusnya dipindahkan ke ambulans untuk mendapatkan rawatan kecemasan di Hospital Rompin.











