KUALA KURAU, 8 NOVEMBER - Sebuah vesel tunda berserta tongkang ditahan Zon Maritim Kuala Kurau kerana gagal mengemukakan dokumen pengecualian penggunaan kru warga Malaysia seperti yang telah ditetapkan dalam lesen perkapalan dalam negeri (eDSL).
Penahanan itu dibuat di kedudukan 16.3 batu nautika barat Pulau Terong, Perak petang semalam.
Hasil pemeriksaan lanjut mendapati vesel dikendalikan oleh lapan kru warga Indonesia termasuk nakhoda berumur lingkungan 24 hingga 61 tahun.
Kru, vesel dan tongkang yang membawa muatan gypsum dengan anggaran nilai keseluruhan RM 990,000 telah diiring ke kawasan berlabuh sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan selanjutnya.
Maritim Malaysia menegaskan agar komuniti maritim sentiasa mematuhi peraturan yang telah ditetapkan bagi mengelakkan tindakan undang-undang diambil.
Sebarang laporan, aduan dan insiden kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kurau (05- 7279919) atau talian kecemasan 999 untuk maklum balas segera.










