KUALA PERLIS, 21 OKTOBER – Zon Maritim Kuala Perlis menggagalkan cubaan menyeludup keluar lebih kurang 1 tan daun ketum di kedudukan 0.4 batu nautika timur laut muara Kuala Sanglang, Perlis sekitar pukul 1.20 pagi, semalam.
Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Hashim bin Mat Zain berkata, kejayaan operasi kali ini adalah hasil maklumat risikan, Unit Risikan Zon Maritim Kuala Perlis (ZMKP) dan bot Perkasa 1227 yang mengesan sebuah bot fiber tanpa nombor pendaftaran disyaki dikendalikan dua orang suspek yang sedang bergerak keluar dari Kuala Sanglang, Perlis menuju ke arah sempadan Thailand dalam keadaan gelap dan mencurigakan.
Menyedari kehadiran pihak berkuasa, kedua-dua suspek bertindak mengemudi bot secara berbahaya dan berjaya melarikan diri serta meninggalkan bot di jeti berhampiran di samping meninggalkan beberapa bungkusan plastik hitam di dalam bot.
Tambah beliau, hasil pemeriksaan ke atas bot tersebut telah menemukan 150 bungkusan plastik berwarna hitam yang dianggarkan 10 kg setiap bungkusan disyaki daun ketum dengan anggaran berat lebuh kurang 1 tan bernilai RM50 ribu dipercayai cuba diseludup keluar ke negara jiran.
Kes disiasat di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 kerana penyalahgunaan ketum termasuk mengimport, menjual, memproses dan lain-lain berkaitan bahan tersebut dan Seksyen 8 (a) Akta Perikanan 1985 iaitu mana-mana orang yang mengusahakan apa-apa aktiviti penangkapan ikan, mengendali atau membenar dikendalikan di perairan Perikanan Malaysia apa-apa vesel penangkapan ikan tempatan bagi maksud menangkap ikan dengan melanggar apa-apa syarat dalam lesen yang dikeluarkan berkenaan dengan vesel.
Kesemua hasil tangkapan dan rampasan dianggarkan bernilai sekitar RM100 ribu itu dibawa masuk ke Jeti Operasi Zon Maritim Kuala Perlis dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.
Terdahulu, Hashim memaklumkan Modus Operandi penyeludup ialah mengubahsuai bahagian dalaman bot untuk menyembunyikan bungkusan ketum daripada dikesan oleh penguat kuasa yang akan menjalankan penggeledahan.
Maritim Malaysia meminta kerjasama daripada orang ramai supaya segera melaporkan sebarang kes penyeludupan dan jenayah maritim yang berlaku di perairan negeri ini.
Sebarang laporan, aduan dan kecemasan di laut boleh terus menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Perlis di talian 04-9851072 dan 04-9851162 serta talian kecemasan 999.













