LUMUT, 21 OKTOBER – Sebuah Vesel Nelayan Tempatan (VNT) kelas B telah ditahan Maritim Negeri Perakkerana melakukan pelbagai kesalahan bersama dua nelayan warga asing di kedudukan 1.2 batu nautika barat laut Pulau Talang, Perak kira-kira pukul 12.15 tengah hari semalam.
Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri bin Khotob berkata, vesel terbabit dikesan ketika sedang leka melakukan aktiviti perikanan oleh sepasukan bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melakukan rondaan di sekitar perairan negeri Perak.
Hasil pemeriksaan mendapati, vesel berkenaan dikendalikan oleh seorang tekong warga Myanmar berumur 50 tahun bersama - sama seorang kru yang juga warga Myanmar berumur 42 tahun.
Pemeriksaan lanjut mendapati, vesel terbabit tidak diusahakan sendiri dan menggunakan nelayan asing tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia selain kru gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.
Kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal di Malaysia tanpa dokumen pengenalan diri yang sah dan Akta Perikanan 1985 kerana tidak diusahakan sendiri dan menggunakan nelayan asing tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.
Kesemua nelayan bersama vesel, hasil tangkapan berserta peralatan menangkap ikan ditahan untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.
Maritim Malaysia menegaskan agar komuniti maritim sentiasa mematuhi peraturanyang telah diwartakan kerajaan dan tidak akan berkompromi mengenakan tindakan ke atas pesalah yang melakukan aktiviti menyalahi undang-undang.
Sebarang laporan, aduan dan insiden kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi Maritim Malaysia melalui Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian05-6838737 atau talian kecemasan NG 999 untuk maklum balas segera.












