PUTRAJAYA, 10 OKTOBER – Maritim Malaysia mempertingkat kemahiran mencari dan menyelamat (CARILAMAT) menerusi jalinan dua hala bersama Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (BASARNAS) melalui Search and Rescue Exercise (SAREX) Malaysia-Indonesia (MALINDO) Siri 43/2024 yang berlangsung di Putrajaya, hari ini.
Eksesais yang berlangsung selama dua hari bermula 9 hingga 10 Oktober itu melibatkan agensi-agensi penyelamat dan keselamatan negara yang terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Laut Malaysia (JLM) dan Civil Aviation of Authority Malaysia (CAAM) serta kerjasama Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Luar Negeri.
Ketua Delegasi Malaysia, Kepten Maritim Mohd Ariz bin Md Kassim berkata, hubungan kerjasama melalui SAREX MALINDO memainkan peranan penting dalam memperkukuh jaringan kerjasama menerusi perkongsian maklumat dan sumber di antara kedua-dua negara di samping pertukaran kemahiran dan kepakaran setiap agensi dalam memastikan keselamatan perairan Malaysia dan Indonesia terjamin kepada komuniti setempat dan pelaut antarabangsa.
Tambahnya, latihan ini merupakan sebuah pendekatan yang penting dalam meningkatkan keupayaan dalam operasi CARILAMAT selain berperanan sebagai kaedah terbaik dalam memastikan keselamatan perairan serantau terutamanya di Selat Melaka yang menjadi laluan pelayaran tersibuk di dunia.
SAREX MALINDO dimulakan dengan ucapan aluan oleh Ketua Delegasi Indonesia, Noer Isrodin dari BASARNAS diikuti oleh Ketua Delegasi Malaysia, Kepten Maritim Mohd Ariz.
Dalam pada itu, eksesais pada hari pertama dilaksanakan dengan taklimat pelaksanaan SAREX MALINDO oleh Exercise Controller (EXCON), Komander Maritim Mohd Ardi bin Mat Nawi yang menumpukan kepada menguji cuba saluran komunikasi antara Maritim Rescue Coordinaton Centre (MRCC) dan Rescue Coordination Centre (RCC) serta Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) dan Rescue Coordination Sub Centre (RCC) serta agensi Penyelamat kedua-dua negara berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) SAR MALINDO.
Menurut beliau, eksesais ini juga bertujuan bagi menilai koordinasi bersama mengenai prosedur dan tatacara SOP SAR MALINDO selain meningkatkan hubungan kerjasama RCC/RSC dalam mengkoordinasikan Joint SAR Operation menerusi eksesais yang dilaksanakan.
Selain itu, Komander Maritim Mohd Ardi meneruskan taklimat eksesais dengan perbincangan melalui Table Top Exercise (TTX) bersama peserta-peserta yang mengikuti eksesais secara bersemuka serta secara dalam talian.
Sementara itu, perjalanan eksesais pada hari kedua dimulakan dengan Command Post Exercise (CPX) dan diakhiri dengan Post Exercise Debrief.
Pada akhir acara, eksesais disudahi dengan ucapan penutup oleh Ketua Delegasi Malaysia dan Indonesia serta pertukaran cenderamata sebagai tanda penghargaan dan kerjasama.
Untuk rekod, SAREX MALINDO Siri ke-43 ini merupakan acara tahunan yang dihoskan secara bergilir bersama Malaysia dan Indonesia di bawah bidang Kerjasama General Border Committee (GBC) MALINDO.
.













