PELABUHAN KLANG, 9 OKTOBER – Mayat seorang remaja lelaki ditemukan lemas selepas dilaporkan hilang ketika mandi di pesisir Pulau Carey sekitar pukul 2.05 pagi tadi.
Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin bin Muhammad Salleh berkata, Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Johor bahru menerima aduan melalui panggilan talian NG 999 daripada rakan mangsa pada pukul 7.37 petang, semalam.
Mangsa, Agileshwaran a/l Krisna Murthi 17 tahun, dikatakan mandi bersama rakan-rakannya sebelum disedari hilang dipercayai dibawa arus pada sekitar pukul 7.00 petang hari yang sama.
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) telah mengatur gerak bot PERKASA 36 ke lokasi pada pukul 8.00 malam bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dari balai bomba Teluk Panglima Garang serta orang awam untuk pencarian awal sebelum CARILAMAT diaktifkan pada pukul 12.05 tengah malam oleh MRSC Johor Bahru.
Selepas tujuh jam pencarian, mayat mangsa telah ditemukan terdampar di pesisir Pulau Carey tidak jauh dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.
Mayat mangsa yang masih berpakaian seluar pendek berwarna hitam telah dibawa ke Hospital Banting untuk tindakan lanjut. Operasi CARILAMAT telah ditamatkan pada pukul 4.30 pagi tadi
Maritim Malaysia menasihati orang awam agar sentiasa mengutamakan aspek keselamatan sebelum melakukan sebarang aktiviti di laut.
Sebarang maklumat, aduan dan insiden kecemasan di laut, orang ramai boleh menyalurkan ke Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 013-6606652 atau ke talian kecemasan NG 999 yang beroperasi secara 24 jam untuk maklum balas segera.
.











