PELABUHAN KLANG, 7 OKTOBER – Maritim Negeri Selangor bersama Jabatan Laut Wilayah Tengah (JLWT) telah menggembleng tenaga menjayakan OP KHAS JALMAR SELANGOR BIL 1/2024 bermula 4 hingga 6 Oktober lalu di sekitar perairan Pelabuhan Klang dan Kuala Selangor.
Pengarahnya, Kepten Maritim Abdul Muhaimin bin Muhammad Salleh berkata, Operasi Khas ini memfokuskan kepada semua bot-bot penumpang dalam memberikan kesedaran berkaitan isu-isu keselamatan di laut serta kepentingan peralatan di atas bot selain turut memastikan pengusaha dan nahkoda mematuhi syarat-syarat di dalam lesen yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Laut Malaysia.
Tambah beliau, operasi ini merupakan kejayaan bagi kedua-dua pihak dalam usaha mengurangkan kesalahan-kesalahan yang dilakukan bot penumpang di samping menitikberatkan keselamatan di laut agar insiden tidak diingini berlaku.
Operasi ini melibatkan 48 anggota daripada Maritim Negeri Selangor serta 21 anggota JLWT.
Dalam operasi ini, tiga fasa telah diselaraskan merangkumi fasa pertama iaitu sesi pengkongsian ilmu yang disampaikan oleh penceramah dari Jabatan Laut Wilayah Tengah berkaitan kesalahan-kesalahan lazim di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 dan diakhiri dengan taklimat Operasi Khas JALMAR Selangor bil 1/2024.
Fasa kedua melibatkan pengoperasian di laut yang telah dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu dengan mengunakan bot MARITIM PERKASA 35 dan Bot SYAHBANDAR 1 (JLWT) dan dua kumpulan di darat turut diwujudkan supaya bot-bot penumpang yang berada di jeti diperiksa.
Manakala Fasa ketiga adalah Majlis Perasmian Penutup yang diadakan di Ibu Pejabat Maritim Negeri Selangor pada sebelah petang yang dihadiri oleh Pengarah Maritim Negeri Selangor dan Ketua Operasi Jabatan Laut Wilayah Tengah, Tuan Lim Fung Vui yang mewakili Pengarah Jabatan Laut Wilayah Tengah.
Kawasan pemeriksaan bagi operasi kali ini meliputi Perairan Pelabuhan Klang, Jeti Southport Terminal dan Jeti Pulau Ketam.
Manakala bagi Perairan Kuala Selangor, melibatkan kawasan tumpuan pelancongan Sky Mirror, NYC Tour Sky Mirror and Sky Mirror Fun Life, Sky Mirror World and Boat Cafe serta Sky Mirror Kuala Selangor (Official Jetty).
Hasil daripada operasi yang dilaksanakan merekodkan satu tangkapan dan 44 pemeriksaan telah dilakukan dalam dua hari pelaksanaan operasi.
Dalam ucapan penutup, Muhaimin menzahirkan harapan agar hubungan kerjasama di antara kedua-dua perkhidmatan dapat dipertingkatkan demi memelihara keamanan dan kesejahteraan di perairan Selangor.
Maritim Negeri Selangor merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada komuniti maritim khususnya di Selangor yang sebahagian besarnya mematuhi peraturan yang ditetapkan dan kesedaran pentingnya keselamatan apabila berada di laut dan bersama menjalankan tanggungjawab membuat laporan atau aduan mengenai sebarang kegiatan jenayah maritim serta kecemasan di laut kepada Maritim Malaysia.
Sebarang aduan dan maklumat mengenai sebarang kegiatan jenayah maritim serta kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 013-6606652 atau talian kecemasan 999 untuk maklum balas segera.













