LABUAN, 4 OKTOBER – Cubaan sebuah sebuah bot fiber membawa keluar minuman keras tanpa cukai gagal apabila Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melalui Zon Maritim Labuan telah berjaya merampas sejumlah 1,920 tin minuman keras di perairan Labuan pada pukul 1.00 pagi tadi.
Pengarah Zon Maritim Labuan, Kepten Maritim Izawanhadi bin Hj. Idros, berkata kru Bot Petir 90 yang sedang melaksanakan rondaan di sekitar perairan Labuan, telah menahan sebuah vesel yang dikendalikan oleh tekong bot yang bergerak laju dengan keadaan mencurigakan dari Labuan ke Menumbok.
Jelas beliau, ketika menghampiri untuk pemeriksaan lanjut, pihak penguat kuasa Maritim Malaysia mendapati tekong bot terbabit telah terjun ke laut dan seterusnya melarikan diri ke hutan paya bakau berhampiran.
Hasil pemeriksaan mendapati vesel terbabit dipercayai cuba menyeludup keluar minuman keras pelbagai jenama berjumlah sebanyak 1,920 tin dengan nilai keseluruhan rampasan dalam lingkungan RM40 ribu.
Kes akan disiasat di bawah Akta Kastam 1967 kerana membawa keluar minuman keras tanpa cukai melebihi jumlah yang dibenarkan.
Kesemua rampasan dibawa ke Jeti Zon Maritim Labuan untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.
Izwanhadi berkata, orang ramai boleh menyalurkan informasi aktiviti jenayah di laut dengan terus menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Labuan di talian 087-427999 atau talian kecemasan 999 yang beroperasi 24 jam setiap hari.










