KOTA TINGGI, 20 SEPTEMBER – Seorang anggota kapal tangki mengalami detik cemas selepas jari telunjuk tangan kiri beliau putus disyaki tersepit pada enjin sewaktu bertugas di atas kapal terbabit, semalam.
Pemangku Pengarah Maritim Negeri Johor, Kepten Maritim Kama Azri bin Kamil berkata, Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Johor Bahru telah menerima makluman dari kapal tangki yang berdaftar dari San Marino pada jam 12.40 tengah hari mengenai insiden yang berlaku.
Menerusi Zon Maritim Tanjung Sedili, sebuah bot ronda Maritim Malaysia diarahkan ke lokasi namun tidak berjaya ekoran faktor cuaca buruk sebelum sebuah kapal maritim KM SATRIA ditugaskan ke lokasi kapal tangki terbabit di kedudukan 12.2 batu nautika timur laut Tanjung Punggai dan tiba di lokasi pada jam 5.00 petang.
Mangsa Tilik Raj, 59, merupakan warga India bekerja sebagai Electro Technical Officer (ETO) telah dibawa ke Jeti Pos Maritim Pengerang sebelum dibawa ke hospital KPJ Pasir Gudang pada jam 7.10 petang tadi.
Jika terdapat sebarang kemalangan dan kejadian tidak diingini berlaku di laut, komuniti maritim diminta untuk segera menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Johor di talian 07-2279285 atau talian kecemasan NG 999 untuk maklum balas segera.










