KUCHING, 19 SEPTEMBER – Tekong bot nelayan tempatan yang dilaporkan pengsan selepas jatuh laut telah meninggal dunia dan Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) telah ditamatkan hari ini.
Pengarah Maritim Negeri Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Haji Kamal Ariffin bin Jusoh berkata, jenazah mangsa Sumardi, 43, warga Indonesia itu tiba di jeti Kompleks Maritim Tun Abang Salahuddin (KOMTAS) di Muara Tebas, Kuching pada pukul 12.15 tengah hari tadi.
Jenazah diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan dan mangsa disahkan meninggal dunia sebelum diserahkan kepada pihak Polis untuk tindakan lanjut.
Untuk rekod, Maritime Rescue Sub Center (MRSC) Kuching telah menerima aduan daripada Encik Eric Yeo semalam yang memaklumkan bahawa tekong bot miliknya itu tidak sedarkan diri selepas jatuh laut dan diselamatkan oleh dua kru botnya.
Sejurus menerima maklumat, Operasi CARILAMAT telah diaktifkan pada pukul 2.30 petang dengan mengatur gerak KM MARLIN ke lokasi untuk mencari bot nelayan tersebut.
Usaha mengesan mangsa bersama bot turut disertai agensi sahabat iaitu Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) melalui sistem MTU (Mobile Tracking Unit) dan Jabatan Laut Malaysia (JLM).
Bot beserta mangsa telah ditemukan oleh KM MARLIN pada pukul 11.08 malam tadi di kedudukan 36 batu nautika Utara Tanjung Po, sebelum dipindahkan dengan Bot KILAT 35 ke KM MARLIN untuk dibawa ke Jeti KOMTAS.
Maritim Malaysia menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan menasihati komuniti maritim agar sentiasa berwaspada ketika berada di laut dengan sentiasa memakai jaket keselamatan serta membawa Personal Locator Beacon (PLB) sebelum turut ke laut. Malah tegas beliau aktiviti di laut perlu ditangguhkan terlebih dahulu sekiranya keadaan cuaca buruk.
Sebarang maklumat, aduan atau insiden kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak di talian 082-432544 atau talian kecemasan 999 untuk maklum balas segera.













