KUALA KURAU, 16 SEPTEMBER – Seorang nelayan didapati hilang selepas dipercayai lemas ketika cuba menyelamatkan rakannya yang jatuh laut di kedudukan lapan batu nautika dari darat berhampiran perairan Tanjung Piandang sekitar pukul 5.50 pagi semalam.
Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd Najhan bin Azman Hamid berkata, pihaknya telah menerima maklumat daripada Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Langkawi mengenai satu panggilan kecemasan pada pukul 7.30 pagi oleh tekong bot mengenai kejadian itu.
Sejurus menerima aduan, Maritim Malaysia telah mengatur gerak sebuah aset ke lokasi untuk melaksanakan Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT).
Namun, pencarian mangsa telah ditangguhkan pada pukul 7.00 petang semalam akibat cuaca yang semakin gelap.
Terdahulu mangsa, Mohamad Akhmal bin Mohd Yusuf, 23 tahun didapati hilang ketika cuba menyelamatkan rakannya yang jatuh laut semalam.
Memasuki hari kedua, Operasi CARILAMAT hari ini turut melibatkan pasukan sahabat iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM) Ibu Pejabat Daerah Kerian, Pasukan Polis Marin (PPM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) serta komuniti nelayan Sungai Betul.
Mengulas lanjut, Akhmal memaklumkan sektor pencarian hari kedua juga telah diperluaskan dari 16 batu nautika kepada 73 batu nautika persegi.
Beliau juga memohon kepada masyarakat khususnya komuniti maritim di daerah Kerian dan Larut Matang untuk sama-sama membantu Maritim Malaysia dalam misi pencarian mangsa tersebut.
Jika terdapat maklumat atau terlihat sebarang kejadian mencurigakan di laut, orang ramai boleh melaporkannya ke talian 05-7277481 (Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kurau) atau talian kecemasan NG999 untuk maklum balas segera.












