KUALA LANGAT, 11 SEPTEMBER – Maritim Negeri Selangor menahan sebuah bot fiber tanpa nombor pendaftaran kerana cuba menyeludup keluar pendatang asing tanpa izin (PATI) di kedudukan 0.2 batu nautika barat daya Pantai Tanjung Rhu, Kuala Langat pada sekitar jam 1.50 pagi tadi.
Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin bin Muhammad Salleh berkata, hasil maklumat daripada Area Control Centre (ACC) Klang terdapat satu sasaran mencurigakan telah dikesan bergerak laju di perairan Kuala Langat.
Hasil maklumat itu, bot ronda Maritim Malaysia ketika dalam OP EHSAN dan OP TIRIS 3.0 telah diatur gerak ke lokasi untuk melakukan pemeriksaan.
Setiba di lokasi, pasukan operasi menemukan sebuah bot fiber tanpa nombor pendaftaran memecut laju dalam keadaan mencurigakan di Perairan Tanjung Rhu dan berlaku adegan kejar buru di antara bot suspek dan aset Maritim Malaysia selama 35 minit.
Dalam cubaan bot suspek meloloskan diri, tekong dengan sengaja melanggar bahagian sebelah kanan bot ronda Maritim Malaysia sehingga menyebabkan kerosakan pada badan bot dan palang penghadang enjin, sebelum tekong terjun ke laut bersama beberapa PATI lain dan berenang ke kawasan cetek hutan paya bakau berdekatan.
Dengan kecekapan anggota Maritim Malaysia, bot suspek berjaya dihentikan dan hasil pemeriksaan mendapati, terdapat dua PATI wanita masing-masing berusia 28 dan 45 tahun tanpa dokumen pengenalan diri berada di atas bot.
Hasil soal siasat ke atas kedua-dua PATI di lokasi kejadian, kira-kira lebih 20 penumpang yang menggunakan perkhidmatan bot terbabit untuk pulang ke negara jiran telah melarikan diri dengan terjun ke laut sebelum insiden pelanggaran berlaku.
Bot fiber serta dua suspek terbabit telah ditahan kemudian dibawa ke Jeti Maritim NegeriSelangor, Pelabuhan Klang untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia.
Kesemua suspek disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada dokumen pengenalan diri yang sah.
Maritim Malaysia akan sentiasa memantau pencerobohan dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang di Zon Maritim Malaysia (ZMM) bagi memastikan keselamatan perairan negara sentiasa terpelihara.
Sebarang maklumat, aduan atau insiden kecemasan di laut orang ramai boleh menghubungi talian kecemasan NG999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 013-6606652 untuk maklum balas segera.











