PONTIAN, 4 SEPTEMBER – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Johor telah menggagalkan satu cubaan menyeludup dadah seberat 20 kilogram dalam satu operasi awal pagi semalam.
Pemangku Pengarah Maritim Negeri Johor, Kepten Kama Azri bin Kamil berkata rampasan dadah tersebut berjaya dilakukan sekitar pukul 12.30 tengah malam tadi oleh bot ronda Maritim Malaysia yang berjaya mengesan sebuah bot kayu tanpa pendaftaran yang mencurigakan di kawasan perairan Parit Raja, Pontian.
"Sewaktu pengesanan dilakukan, bot ronda Maritim Malaysia mendapati terdapat tiga individu berada di atas bot kayu tersebut dalam keadaan mencurigakan sebelum bertindak melarikan diri menuju ke kawasan paya bakau dan meninggalkan bot kayu tersebut," katanya.
"Pemeriksaan ke atas bot yang ditinggalkan menemukan sebuah beg berwarna biru gelap yang mengandungi 20 bungkusan teh cina dipercayai dadah jenis Syabu dipercayai untuk kegunaan seramai 100,000 penagih.
Kesemua bungkusan dadah tersebut dirampas dan bot kayu tanpa pendaftaran berserta enjin juga disita bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," tambah beliau lagi.
Jumlah keseluruhan rampasan termasuk bot kayu tanpa pendaftaran serta enjin dianggarkan bernilai lebih RM700 ribu. Dadah tersebut dipercayai untuk diseludup keluar dari Malaysia.
Maritim Negeri Johor akan terus menguatkuasakan undang-undang di perairan ini bagi mengekang sebarang penyeludupan barang terlarang terutama dadah.











