BINTULU, 2 SEPTEMBER – Zon Maritim Bintulu menahan sebuah bot tunda di kedudukan empat batu nautika barat laut Kuala Kemena, Bintulu pada sekitar jam 3.35 petang semalam.
Pengarahnya, Kepten Maritim Muhammad Suffian Eldine bin Abdullah berkata, bot ronda Maritim Malaysia ketika menjalankan OP PERMAI 01/2019 telah melakukan pemeriksaan terhadap bot tunda bewarna putih yang sedang membuat kerja-kerja pemunggahan kayu balak ke atas kapal induk untuk dieksport ke negara India.
Hasil pemeriksaan awal mendapati bot tunda tersebut dikendalikan oleh empat kru termasuk nakhoda warga Myammar dan seorang kru warga tempatan berumur 28 hingga 35 tahun.
Bot tunda berkenaan disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 iaitu tidak memaklumkan secara bertulis kepada Pendaftar Kapal berhubung pertukaran nama nakhoda di dalam sijil pendaftaran kapal yang memperuntukan hukuman kompaun sebanyak RM2,500.
Bot tunda berserta dokumen telah ditahan dan diiring masuk ke Pusat Tahanan Vesel (PTV) Zon Maritim Bintulu sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.
Maritim Malaysia sentiasa mengingatkan kesemua komuniti maritim supaya mematuhi segala peraturan undang-undang sebelum melakukan sebarang aktiviti di laut.
Maritim Malaysia turut mengalu-alukan maklumat serta aduan daripada seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti yang mencurigakan serta kemalangan di laut secara terus ke talian kecemasan NG999 atau Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Bintulu (086-314 254) / Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak (082-432544) yang beroperasi 24 jam untuk maklum balas segera.










