PASIR PUTEH, 19 OGOS – Maritim Negeri Kelantan telah menahan sebuah vesel nelayan tempatan (VNT) pada kedudukan lebih kurang 40 batu nautika dari muara Tok Bali petang Sabtu lalu.
Pengarah Maritim Negeri Kelantan, Kepten Maritim Erwan Shah bin Soahdi berkata, tangkapan dilakukan oleh sebuah bot peronda milik agensi ini yang sedang melaksanakan rondaan di sempadan perairan Malaysia-Vietnam dalam Op NAGA BARAT dan Op DAMAI dan Op TIRIS.
Vesel dikesan ketika sedang menangkap ikan di posisi tersebut lebih kurang pukul 4.30 petang sebelum ditahan dan diperiksa kira-kira 10 minit kemudian
Hasil pemeriksaan mendapati terdapat enam orang kru termasuk tekong kesemuanya disyaki warga negara Thailand berumur di antara 33 hingga 55 tahun bekerja di vesel tersebut yang mana tiga daripada kru vesel tersebut juga didapati gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri dan permit bekerja yang sah ketika diminta.
Vesel bersama kru kemudiannya diiringi ke jeti Maritim Negeri Kelantan dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.
Kes akan disiasat dibawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu menggajikan pekerja asing tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan Malaysia serta Akta Imigresen 1959/63 kerana kru tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan permit bekerja yang sah.











