PELABUHAN KLANG, 16 OGOS – Sebuah bot penumpang ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor pada kedudukan kira-kira 0.3 batu nautika barat Pelabuhan Barat pada sekitar jam 12.20 tengah hari semalam.
Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin bin Muhammad Salleh berkata, bot itu ditahan ketika dalam perjalanan menuju ke Pelabuhan Barat oleh bot ronda Maritim Malaysia ketika dalam melaksanakan rutin operasi di perairan Selangor.
Hasil pemeriksaan awal ke atas bot itu mendapati, terdapat dua lelaki warga tempatan masing-masing berusia 24 dan 26 tahun bertindak selaku nakhoda dan kru bot berkenaan.
Pemeriksaan dokumentasi mendapati, bot itu telah melanggar syarat sah lesen, bot dan nakhoda serta kru dibawa ke jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Negeri Selangor untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 iaitu nama nakhoda dan nama kru tiada dalam lesen bot.
Maritim Malaysia menegaskan kepada komuniti maritim untuk sentiasa peka dengan syarat-syarat lesen yang telah ditetapkan dan tidak akan berkompromi jika mendapati terdapat individu yang gagal mematuhi syarat sah lesen yang dikeluarkan.
Sebarang aduan, maklumat dan insiden kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-31760627 atau NG 999 untuk maklum balas segera.











