23
Thu, Apr

PASUKAN PENYELAM MARITIM MALAYSIA DIGERAKKAN CARI LOKASI BOT KARAM

KEMAMAN, 13 OGOS – Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) bagi mengesan serta mencari dua lagi mangsa bot karam yang berlanggar dengan tongkang di Kuala Kemaman pada 11 Ogos lalu kini memasuki hari ketiga pencarian.

Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Ariffin bin Ghazali berkata, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) telah menggerakkan sepasukan sembilan anggota penyelam dari Skuadron Selam di bawah kendalian Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team) Maritim Malaysia bagi mengesan lokasi serta mencari badan bot yang karam.

Selain itu kata beliau, Maritim Malaysia turut menggerakkan kapal peronda generasi baharu, KM TOK BALI yang bertindak sebagai “on-scene commander” di sektor pencarian.

Jelasnya lagi, pencarian pada hari ini melibatkan sebanyak lima aset laut dan dua aset udara membabitkan kekuatan seramai 80 anggota dari pelbagai agensi menyelamat terdiri daripada Maritim Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM). Operasi pencarian turut dibantu oleh lima vesel nelayan tempatan yang melakukan pencarian sekitar perairan Kemasik di kawasan persisiran pantai.

“Kawasan sektor pencarian turut diperbesarkan meliputi kawasan seluas 116.24 batu nautika persegi. Keadaan cuaca di kawasan pencarian diramalkan baik dengan angin sekitar 30 km/j ke 40 km/j serta ketinggian ombak mencapai 1.5 meter ke 2.5 meter.

“Keluasan bagi sektor pencarian udara juga diperbesarkan menjangkau sehingga 291 batu nautika persegi yang melibatkan pesawat Bombardier CL415MP Maritim Malaysia dan helikopter AW139 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia,” kata beliau lagi.

Anggota penyelamat, ahli keluarga, pemimpin masyarakat serta penduduk setempat turut mengadakan solat hajat bagi memohon agar usaha pencarian pada hari ini dipermudahkan.

Maritim Malaysia dalam pada itu memohon kerjasama komuniti maritim serta orang awam yang menemui sebarang petunjuk atau mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian terbabit diminta untuk menghubungi Pusat Operasi Maritim Kemaman di talian 011-13390521 atau terus ke Pangkalan Hadapan CARILAMAT yang diaktifkan di Pejabat Maritim Kemaman.

 

PENYELAM SAR 2

hrmis JPA kkdnlogo KSN logo mampu MDEC MyGov SPA tourism malaysia cropped logo SPRM AMSAS
 
APLIKASI ICON    KERJAYA ICON BLUE   ONLINE SISTEM ICON    SEAHAWK ICON BLUE    VIDEO ICON   VIDEO MEDIA BLUE   VIDEO ICON