PELABUHAN KLANG, 28 JULAI – Kerjasama erat di antara Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor dengan Jabatan Perikanan (DOF) Negeri Selangor terus diperkukuhkan lagi dengan pelaksanaan OP HURRICANE BERSEPADU selama dua hari di perairan Kuala Langat bermula 25 Julai lalu.
Tujuan operasi ini diadakan adalah untuk memupuk kesedaran dalam kalangan komuniti nelayan terhadap pematuhan undang-undang dan hal ehwal pelesenan seperti yang termaktub dalam Akta Perikanan 1985.
Menurut Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin bin Muhammad Salleh, dalam operasi ini Maritim Malaysia telah merampas beberapa unit Ambai yang disyaki tidak memiliki lesen dan akan disiasat dibawah Seksyen 11 (3) (b) Akta Perikanan 1985 iaitu di bawah kawalannya atau milikannya peralatan menangkap ikan tanpa lesen.
Dalam operasi ini juga, beberapa set belat haram yang dipasang di sepanjang perairan Kuala Langat turut ditemukan dan disita.
Kesalahan ini adalah di bawah Seksyen 11 (3) (c) Akta Perikanan 1985 iaitu memasang peralatan menangkap ikan (Belat) tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.
Pelaksanaan OP HURRICANE BERSEPADU dilihat mampu menjadi platform terbaik dalam perkongsian maklumat dan kepakaran merentasi agensi dan jabatan yang menguatkuasakan Undang-undang Maritim.
Pelaksanaan operasi seperti ini akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan kelestarian sumber perikanan negara dan keselamatan dalam sektor perikanan akan tetap terpelihara.
Majlis penutup OP HURRICANE BERSEPADU ini telah disempurnakan oleh Pengarah Perikanan Negeri Selangor, Puan Noraisyah binti Abu Bakar bertempat di Jeti Pangkalan Nelayan Klanang, Kuala Langat.
Sebarang aduan, maklumat dan insiden kecemasan serta aktiviti jenayah di laut orang ramai boleh menyalurkannya ke talian 24 jam NG999 atau pusat operasi Maritim Malaysia untuk maklum balas segera.













