KUALA PERLIS, 26 JULAI – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Perlis telah berjaya menahan sebuah Vesel Nelayan Tempatan (VNT) kelas C kerana menangkap ikan kurang dari jarak yang dibenarkan iaitu di kedudukan 2.08 batu nautika dari barat Kuala Tunjang, Ayer Hitam, Kedah malam tadi.
Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Hashim bin Mat Zain berkata, bot ronda Maritim Malaysia tiba di lokasi tangkapan ketika pihaknya sedang melakukan rondaan Op AMAN di sekitar perairan Perlis malam tadi.
Hasil pemeriksaan mendapati, bot terbabit berpengkalan di Kuala Kedah dan dikemudikan oleh seorang tekong dan tiga orang awak - awak warga tempatan berumur antara 31 hingga 52 tahun.
Hasil tangkapan dianggarkan bernilai lebih RM20 ribu itu dibawa masuk ke jeti Zon Maritim Kuala Perlis dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.
Kes akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985, Seksyen 8 (b) iaitu mana-mana orang yang mengusahakan apa-apa aktiviti penangkapan ikan, mengendali, atau membenar dikendalikan, di perairan perikanan Malaysia apa-apa vesel penangkapan ikan tempatan bagi maksud menangkap ikan dengan melanggar syarat dalam lesen iaitu menangkap ikan kurang dari 12 batu nautika dari pantai.
Maritim Malaysia juga meminta kerjasama dari orang ramai supaya segera melaporkan sebarang kes penyeludupan dan jenayah maritim yang berlaku di perairan negeri ini.
Sebarang laporan, aduan dan kecemasan di laut boleh terus menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Perlis di talian 04-9851072 atau 04-9851162 serta talian kecemasan NG999.













