KUALA PERLIS, 25 JULAI – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Perlis telah menahan dua buah vesel nelayan asing (VNA) tanpa nombor pendaftaran di dua lokasi berasingan iaitu di kedudukan 7.0 dan 7.3 batu nautika dari barat Kuala Perlis, Perlis Isnin lalu.
Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Hashim bin Mat Zain berkata, bot ronda Zon Maritim Kuala Perlis iaitu bot Perkasa 1227 yang sedang melakukan rondaan Op AMAN di sekitar perairan Perlis telah menghampiri beberapa buah bot fiber kerana mendapati bot-bot berkenaan dalam keadaan mencurigakan.
Jelas beliau, hasil pemeriksaan mendapati, kedua-dua buah bot terbabit yang berpengkalan di negara jiran mengekalkan modus operandi yang sama seperti tangkapan sebelum ini.
Walaupun selang beberapa hari rakan mereka ditahan, namun mereka masih tidak serik memasuki perairan Malaysia untuk menangkap hasil laut di sini.
Ketika ditahan mereka disyaki sedang melakukan aktiviti menangkap ikan dan masing-masing dikemudikan seorang tekong warga tempatan dan seorang warga Thailand serta dua orang awak - awak warga Thailand berumur 27 hingga 41 tahun.
Kes akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985, Seksyen 15 (1) (a) iaitu menangkap ikan dan sebagainya oleh vesel penangkapan ikan asing di perairan perikanan Malaysia tertakluk kepada subseksyen (2) iaitu menangkap ikan atau cuba menangkap ikan dan Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 6 (1) (c) iaitu tidak mempunyai pas atau permit yang sah untuk tinggal di Malaysia.
Tambah beliau, kesemua hasil tangkapan yang dianggarkan lebih RM20 ribu bersama-sama empat suspek diiringi ke Jeti Operasi Zon Maritim Kuala Perlis dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.
Maritim Malaysia meminta kerjasama daripada orang ramai supaya segera melaporkan sebarang kes penyeludupan dan jenayah maritim yang berlaku di perairan negeri ini dengan menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Perlis di talian 04-9851072 atau 04-9851162 serta talian kecemasan NG999.












