PULAU PINANG, 23 JULAI – Sebuah bot peronda Maritim Negeri Pulau Pinang telah melaksanakan satu tangkapan terhadap sebuah Vesel Nelayan Tempatan (VNT) kelas C di kedudukan 6.0 batu nautika barat Teluk Kampi pada pukul 5.00 pagi tadi.
Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Razali bin Kasim berkata, pada awalnya bot peronda melakukan rutin penguatkuasaan sebelum melakukan pemeriksaan terhadap sebuah VNT yang pada ketika itu dalam keadaan mencurigakan.
Jelas beliau, melihat situasi tersebut, bot penguatkuasa bertindak menghampiri VNT berkenaan dan mendapati VNT tersebut sedang melakukan aktiviti perikanan di bawah 15.0 batu nautika iaitu melakukan aktiviti menangkap ikan tidak mengikut syarat sah lesen VNT kelas C.
Pemeriksaan selanjutnya mendapati empat kru warga Thailand berumur lingkungan 42 hingga 64 tahun sedang bekerja di VNT berkenaan.
Kes akan disiasat dibawah Seksyen 8 (b) mengikut Akta Perikanan 1985 iaitu melanggar syarat sah lesen dimana mereka menangkap ikan di bawah 15.0 batu nautika.
Kesemua kru, bot bersama hasil tangkapan dianggarkan 150 kilogram ikan baja telah diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia Negeri Pulau Pinang untuk siastan lanjut.











