23
Thu, Apr

KAPAL KOREK PASIR DIKENDALIKAN WARGA ASING DITAHAN MARITIM MALAYSIA

PELABUHAN KLANG, 23 JULAI – Sebuah kapal korek yang dikendalikan warga asing ditahan Maritim Negeri Selangor di kedudukan kira-kira 11.5 batu nautika barat daya Pulau Ketam pada sekitar jam 2.00 petang semalam.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin bin Muhammad Salleh berkata, kapal terbabit telah dipantau Maritim Malaysia selama beberapa hari sebelum ditahan selepas menerima aduan daripada komuniti maritim.

Kapal KM DANGA yang sedang melaksanakan OP EHSAN, OP MURNI dan OP TIRIS ditugaskan untuk membuat pemeriksaan ke atas kapal korek tersebut.

Kapal berkenaan ditahan ketika sedang melakukan aktiviti pengerukan pasir dasar laut di perairan Pulau Ketam.

Hasil pemeriksaan mendapati kapal tersebut dikendalikan oleh nahkoda warga Indonesia berumur 30 tahun bersama dua kru warga Indonesia dan lapan kru warga China berumur di antara 30 hingga 61 tahun.

Hasil pemeriksaan lanjut mendapati, kesemua kru gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah dan lesen untuk beroperasi.

Kesemua kru dan kapal berserta muatan pasir seberat 2,200 meter cubic ditahan dan dibawa ke jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada dokumen pengenalan diri yang sah dan kesalahan di bawah seksyen 4 (7) Akta Pelantar Benua 1966 kerana melakukan aktiviti pengerukan pasir dasar laut tanpa lesen.

Sebarang aduan, maklumat dan insiden kecemasan di laut, orang ramai boleh menyalurkannya ke Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-31760627 atau talian kecemasan NG 999 untuk maklum balas segera.

 

WhatsApp Image 2024 07 23 at 10.50.38 AM
 
WhatsApp Image 2024 07 23 at 10.50.38 AM 1
 
WhatsApp Image 2024 07 23 at 10.50.39 AM
 
WhatsApp Image 2024 07 23 at 10.50.39 AM 1
hrmis JPA kkdnlogo KSN logo mampu MDEC MyGov SPA tourism malaysia cropped logo SPRM AMSAS
 
APLIKASI ICON    KERJAYA ICON BLUE   ONLINE SISTEM ICON    SEAHAWK ICON BLUE    VIDEO ICON   VIDEO MEDIA BLUE   VIDEO ICON