KUCHING, 14 JULAI – Maritim Negeri Sarawak mengaktifkan Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) pada jam 7.00 pagi tadi, bagi mencari seorang pemancing yang dilaporkan hilang oleh anak mangsa sejak Jumaat (12 Julai) pada sekitar 2.39 petang.
Mangsa yang dikenali sebagai Ong Kim Huat @ Isa Yusuf, 65, kali terakhir dilihat memakai baju warna oren berseluar hitam dengan menaiki bot fiber berwarna biru dan oren dari jeti Baraj Kuching.
Menerusi maklumat yang diperolehi daripada anak mangsa, kebiasaan bapanya akan pulang pada hari yang sama setelah keluar ke laut.
Lokasi terakhir mangsa dikesan di Muara Sebuyau Simunjan Sarawak kira-kira 5.02 petang pada Jumaat lalu melalui aplikasi Whatsapp yang diterima anak mangsa.
Pengarah Maritim Negeri Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Kamal Ariffin bin Jusoh berkata, aset Maritim Malaysia KM BIJAK telah diatur gerak bersama aset Pasukan Polis Marin (PPM) PSC 11 ke lokasi terakhir mangsa dilaporkan.
Op CARILAMAT ini melibatkan lapan pegawai dan empat puluh enam anggota dari Maritim Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS).
Pangkalan Hadapan CARILAMAT (PHC) telah ditubuhkan di Jeti Terminal Penumpang Sebuyau LSS pada 12.30 tengah hari tadi dan sektor pencarian meliputi kawasan seluas 61 batu nautika persegi meliputi Perairan Sebuyau, Pulau Burong dan Pulau Lakei.
Setakat ini, tiada sebarang penemuan dibuat sehingga jam 5.00 petang tadi dan operasi akan disambung semula esok pada jam 8.00 pagi.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak di talian 082-432544 atau talian kecemasan NG999.













