LUMUT, 14 JULAI – Sebanyak 25 set bubu naga atau bubu kamban dirampas Maritim Negeri Perak di kedudukan sekitar 3.3 batu nautika dari barat laut Pulau Talang, Perak pada jam 3.00 petang semalam.
Pengarahnya, Kepten Maritim Mohamad Shukri bin Khotob berkata, kesemua bubu ini dikesan oleh pasukan bot ronda Maritim Malaysia ketika melakukan rondaan dengan menemukan bendera berwarna merah terapung serta botol minuman yang dijadikan pelampung diikat pada pancang kayu mencurigakan di lokasi itu.
Tinjauan secara dekat anggota mengesahkan bendera itu diikat pada pancang kayu adalah sebagai penanda kepada bubu naga yang dipasang oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Kesemua bubu naga yang dianggarkan bernilai hampir RM3 ribu itu dirampas sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.
Pemilik bubu naga boleh didakwa di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan menggunakan kaedah yang tidak dibenarkan.
Jika disabitkan kesalahan, individu yang melakukan kesalahan berkenaan akan dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM20 ribu atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Justeru orang ramai terutamanya komuniti maritim diseru agar terus berkongsi maklumat bagi sebarang pelanggaran undang-undang di laut dengan menghubungi talian kecemasan NG999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-6838737 untuk tindakan segera.












