PUTRAJAYA, 13 JULAI – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melalui Maritime Rescue Coordination Centre (MRCC) Putrajaya telah melaksanakan Search And Rescue Communications Exercise (SARCOMEX) yang dikoordinasikan oleh Japan International Cooperation Agency (JICA).
Latihan ini telah dilaksanakan semasa sebuah kapal latihan Japan Coast Guard (JCG), KOJIMA dalam perjalanan pulang ke Jepun dari Singapura.
Tujuan eksesais ini dilaksanakan adalah untuk meningkatkan keupayaan dalam Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) di antara kedua-dua pihak bagi memastikan keselamatan perairan negara sentiasa terpelihara di samping mengeratkan hubungan di antara JCG dan Maritim Malaysia.
Kemahiran dan pengalaman yang diperoleh dalam eksesais ini mampu memperkukuhkan lagi keupayaan Maritim Malaysia dalam memberi respon yang efektif terhadap sebarang insiden maritim yang sebenar.
Sebarang maklumat, aduan berkaitan kegiatan jenayah atau insiden kecemasan di laut orang ramai boleh menghubungi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia untuk maklum balas segera.













