PULAU PINANG, 12 JULAI – Maritim Negeri Pulau Pinang telah menahan empat kru sangkar ikan sewaktu menjalankan OP PERTIWI 1/2018 di kedudukan 2.7 batu nautika selatan Pulau Aman pada jam 1.00 petang, semalam.
Pengarahnya, Kepten Maritim Razali bin Kasim berkata, bot ronda Maritim Malaysia dalam rutin penguatkuasaan mendapati, ketika ditahan kesemua kru warga Myanmar dalam lingkungan umur 23 hingga 39 tahun itu sedang leka bekerja.
Suspek disyaki berada di perairan Malaysia tanpa memiliki pas yang sah mengikut Akta Imigresen 1959/63 di bawah Seksyen 6 (1) (C).
Dalam kejadian berasingan, satu lagi penahanan dibuat terhadap sebuah tongkang yang sedang merapat dengan sebuah bot tunda di kedudukan 0.9 batu nautika Timur Laut Tanjung Tokong, kira-kira pada jam 1.30 petang hari yang sama.
Ketika pemeriksaan, tongkang berkenaan dipercayai sedang melakukan aktiviti pemindahan air tawar.
Tongkang yang dikendalikan oleh seorang kru warga tempatan itu gagal mengemukakan dokumen lesen pengoperasian yang sah apabila diminta berbuat demikian.
Kes disiasat di bawah Akta Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 kerana beroperasi tanpa memiliki lesen yang sah.
Kesemua kru bersama hasil rampasan bagi kedua-dua kes tangkapan telah diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia Negeri Pulau Pinang untuk siasatan lanjut.












