KOTA TINGGI, 28 JUN – Seorang awak-awak vesel nelayan tempatan (VNT) Kelas C berdepan detik cemas selepas mengalami sakit dada sewaktu turun ke laut pada kedudukan 12 batu nautika timur Tanjung Sedili pada sekitar jam 9.40 pagi tadi.
Pengarahnya, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam bin Zakaria berkata, mangsa, Shamsul Ma'arif, 37, menghubungi Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru untuk mendapatkan bantuan kecemasan segera.
Bot ronda PETIR 12 Maritim Malaysia telah diatur gerak ke lokasi sejurus menerima laporan itu dan tiba di lokasi pada jam 12.50 tengah hari tadi.
Mangsa dibawa ke Jeti Zon Maritim Tanjung Sedili sebelum dikejarkan ke Klinik Kesihatan Tanjung Sedili menaiki ambulans untuk rawatan lanjut.
Mangsa dibenarkan pulang setelah selesai menjalani pemeriksaan kesihatan dan dinasihatkan berehat.
Sebarang maklumat, aduan atau insiden kecemasan di laut, orang ramai boleh segera menghubungi MERS 999 atau talian MRSC Johor Bahru di talian 07-2219231 untuk maklum balas segera.










