23
Thu, Apr

DUA DITAHAN ATAS PELBAGAI KESALAHAN DALAM OP MARDOF

TAWAU, 27 JUN – Zon Maritim Tawau bersama Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) telah berjaya menahan dua buah bot tempatan kerana melakukan pelbagai kesalahan dalam dua tangkapan berasingan semalam.

Pengarahnya, Kepten Maritim Shahrizan bin Raman berkata, terdahulu bot peronda Maritim Malaysia yang menjalankan OP MARDOF 1/2024 dan OP SEJAHTERA telah berjaya mengesan dan memeriksa sebuah bot nelayan tempatan yang menjalankan aktiviti menangkap ikan di sekitar Perairan Merotai pada pukul 11.00 pagi.

Pemeriksaan ke atas bot yang ditahan di kedudukan 1.9 batu nautika selatan Sungai Merotai itu mendapati seorang juragan bot berumur 27 tahun melalui akuan mulut tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri.

Manakala, pemeriksaan dokumentasi seterusnya mendapati bot tanpa nombor pendaftaran tersebut juga tidak mempunyai lesen bot dan juragan gagal mengemukakan lesen perikanan yang sah.

Pada pukul 4.10 petang hari yang sama, sebuah lagi bot nelayan tempatan turut ditahan dan diperiksa oleh bot peronda Maritim Malaysia yang menjalankan operasi yang sama di lokasi 5.5 batu nautika tenggara Apas Parit.

Pemeriksaan ke atas sebuah bot nelayan yang menjalankan aktiviti menarik pukat itu mendapati seorang juragan lelaki warga Indonesia bersama 4 awak-awak juga warga Indonesia masing-masing berumur di antara 45 dan 57 mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah. Namun pemeriksaan mendapati bot tersebut melanggar syarat sah lesen kerana nama juragan tidak didaftarkan di dalam lesen.

Kedua-dua bot bersama muatan serta kesemua kru telah ditahan dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk disiasat di bawah Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS) 2002, Akta Perikanan 1965 dan Akta Imigresen 1959/63.

Kesemua barangan termasuk kedua-dua bot dan muatan disita sehingga proses siasatan selesai dengan nilai rampasan keseluruhan hampir RM100 ribu.

Ujar Shahrizan, OP MARDOF yang dijalankan bersama Jabatan Perikanan Malaysia ini dilancarkan pada 25 hingga 28 Jun ini membabitkan 4 fasa di seluruh perairan Negeri Sabah.

Pelaksanaan operasi ini adalah bagi tujuan penguatkuasaan dan pendedahan kepada wakil DOF serta membangkitkan kesedaran kepada komuniti nelayan. Misi operasi ini juga adalah bagi membanteras kegiatan yang melanggar Akta Perikanan 1985 dan Akta APMM dalam perairan Zon Maritim Malaysia (ZMM) demi memelihara keamanan dan kesejahteraan ZMM.

Maritim Malaysia akan terus memperkasakan tugas penguatkuasaan dan mengoptimumkan pengoperasian bagi membanteras aktiviti-aktiviti yang menyalahi undang-undang di Zon Maritim Malaysia khususnya di perairan Timur Sabah (ESSZONE).

Jika terdapat sebarang salah laku jenayah yang berlaku di sekitar perairan Tawau, hubungi Pusat Operasi Zon Maritim Tawau di talian 089-752116 dan talian MERS 999.

 

OP MARDOF TAWAU
 
OP MARDOF TAWAU 3
 
OP MARDOF TAWAU 2
 
OP MARDOF TAWAU 4
hrmis JPA kkdnlogo KSN logo mampu MDEC MyGov SPA tourism malaysia cropped logo SPRM AMSAS
 
APLIKASI ICON    KERJAYA ICON BLUE   ONLINE SISTEM ICON    SEAHAWK ICON BLUE    VIDEO ICON   VIDEO MEDIA BLUE   VIDEO ICON