TANJUNG KARANG, 30 JUN – Maritim Negeri Selangor menahan sebuah vesel nelayan tempatan (VNT) kelas B1 pada jam sekitar 3.50 petang semalam.
Pengarahnya, Kepten Maritim Abdul Muhaimin bin Muhammad Salleh berkata, vesel nelayan itu ditahan bot ronda Maritim Malaysia dalam OP EHSAN, OP MURNI dan OP TIRIS 3.0 ketika melakukan aktiviti perikanan di 13.4 batu nautika Barat Daya Sungai Tengi, Tanjung Karang.
Hasil pemeriksaan mendapati, vesel itu dikendalikan oleh seorang tekong dan tiga kru warga Myanmar berusia dalam lingkungan 38 hingga 56 tahun yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.
Kesemua warga asing dan vesel dibawa ke jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah bagi diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu menggajikan warga asing tanpa kebenaran daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia dan Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.
Sebarang maklumat, aduan dan insiden kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 013-6606652 / Pusat Operasi Maritim Malaysia di talian 03-89957820 untuk maklum balas segera.












