PUTRAJAYA, 21 JUN – Maritim Malaysia berikrar akan mempertingkatkan keselamatan di Zon Maritim Malaysia (ZMM) sebagai langkah proaktif bagi memastikan perairan negara terus terpelihara.
Pemangku Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan bin Ibrahim berkata, langkah ini bukan sahaja bertujuan untuk menjaga keselamatan negara tetapi juga memberi sumbangan positif kepada Indeks Keamanan Global (GPI).
Untuk rekod, kedudukan Malaysia telah melonjak sembilan anak tangga menjadikan negara berada di kedudukan ke-10 pada tahun ini dari tempat ke-19 pada tahun 2023 sebagai negara paling aman di dunia
Beliau menambah, peningkatan ini adalah sejajar dengan komitmen kerajaan untuk memastikan keselamatan maritim negara terus berada pada tahap optimum dan kepentingan menjaga perairan negara serta laluan perdagangan antarabangsa seperti Laut China Selatan dan Selat Melaka.
Tindakan rondaan dan pengawasan yang lebih ketat serta berterusan amat perlu bagi memastikan kedaulatan, hak dan kepentingan negara di Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) sentiasa dilindungi.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan rasmi Maritim Malaysia bagi mengulas ucapan Menteri Dalam Negeri, YB Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail sempena Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Putrajaya pagi tadi.
Turut hadir dalam perhimpunan itu ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) KDN, Dato' Haji Abdul Halim bin Haji Abdul Rahman, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Kawalan) KDN, Datuk Mohd Zamri bin Mat Zain serta ketua agensi / jabatan di bawah KDN.
Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful turut menegaskan, keselamatan maritim bukan sahaja penting untuk kestabilan negara, tetapi juga berkait rapat dengan kemajuan ekonomi. Dengan mempertingkatkan rondaan dan operasi penguatkuasaan katanya, Maritim Malaysia dapat mencegah serta mengurangkan risiko ancaman jenayah di perairan negara.
Langkah ini juga diharapkan dapat menarik lebih ramai pelabur asing untuk masuk ke negara ini memandangkan Malaysia telah diiktiraf sebagai negara kesepuluh paling selamat di dunia.
Oleh itu, usaha yang dilaksanakan Maritim Malaysia diharapkan dapat terus menyokong peningkatan kedudukan negara dalam Indeks Keamanan Global (GPI), sekaligus memajukan ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.













