MIRI, 15 JUN – Zon Maritim Miri berjaya menumpaskan penyeludupan rokok dan minuman keras pelbagai jenama menerusi OP PERMAI dan OP TIRIS 3.0 di perairan Lawas, awal pagi tadi.
Pengarah Zon Maritim Miri, Kepten Maritim Mohd Khairol Anuar bin Saad berkata, bot ronda Maritim Malaysia ketika rondaan rutin kira-kira pada jam 4.00 pagi di perairan Lawas telah mengesan sebuah bot pancung berwarna kelabu tanpa nombor pendaftaran yang dikendalikan oleh seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan.
Menyedari kehadiran pihak berkuasa suspek bertindak melarikan diri dan berlaku aksi kejar-mengejar sehingga bot pancung itu memasuki ke kawasan hutan payabakau berhampiran.
Suspek berjaya meloloskan diri setelah bot berkenaan terkandas di hutan payabakau tersebut.
Menurut beliau, hasil pemeriksaan terhadap bot pancung yang ditahan menemukan sebanyak 300 ribu batang rokok dan 1,200 tin minuman keras pelbagai jenama.
Kesemua barang rampasan termasuk bot dan enjin dianggarkan bernilai lebih RM200 ribu.
Kes disiasat di bawah Seksyen 135, Akta Kastam 1967 keranamelakukan aktiviti penyeludupan.
Sebarang maklumat, aduan dan insiden kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi talian Malaysian Emergency Response Services (MERS) 999 atauPusat Operasi Zon Maritim Miri di talian 085-418204 / Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak 082-432544/ 082-432016 untuk maklum balas segera.












