KUANTAN, 14 JUN – Maritim Negeri Pahang menahan sebuah bot nelayan tempatan Kelas C kerana tidak memiliki permit kerja yang sah kira-kira pada jam 12.30 tengah hari semalam.
Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Pahang, Kepten Maritim Zainudin bin Mohd Zuki berkata, ketika sedang melaksanakan rondaan rutin OP MAKMUR dan OP TIRIS telah mengesan sebuah bot nelayan sedang bergerak di kedudukan 2.5 batu nautika dari timur laut perairan Kuala Endau.
Pemeriksaan awal mendapati, bot itu dikendalikan oleh empat kru iaitu tiga warga Indonesia termasuk tekong dan seorang kru warga Thailand berusia di antara 33 hingga 58 tahun.
Hasil pemeriksaan lanjut, bot nelayan itu didapati menggajikan seorang kru nelayan warga Thailand yang tidak memiliki permit kerja yang sah.
Bot itu disyaki telah melanggar syarat sah lesen di bawah Akta Perikanan 1985 dan menggajikan pekerja warga asing tanpa kebenaran Pengarah Perikanan Malaysia.
Kes juga disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana mempunyai dokumen pengenalan diri yang meragukan.
Bot dan kesemua kru bersama hasil tangkapan yang dianggarkan sebanyak 2,800 kilogram beserta peralatan menangkap ikan dibawa ke Jeti Pos Maritim Teluk Gading untuk tindakan lanjut.
Sebarang maklumat berkaitan kegiatan jenayah atau kejadian insiden kecemasan di laut orang ramai boleh terus menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-5717345 atau MERS 999 untuk maklum balas segera.










