TAWAU, 4 JUN – Zon Maritim Tawau menahan sebuah bot kargo tempatan kerana gagal mengemukakan sebarang permit berkaitan muatan yang dibawa pada jam 3.40 petang semalam.
Pengarahnya, Kepten Maritim Shahrizan bin Raman berkata, melalui maklumat risikan, bot ronda Maritim Malaysia ketika dalam OP PLUTO TIMUR dan OP TIRIS telah memintas bot kargo itu yang bergerak dari Jeti CIQ Tawau menuju ke Pulau Sebatik.
Pemeriksaan awal ke atas bot yang ditahan di kedudukan 0.6 batu nautika selatan Pelabuhan Tawau itu mendapati, seorang lelaki warga tempatan berumur 32 tahun bertindak selaku juragan bot mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.
Namun, pemeriksaan lanjut terhadap dokumentasi mendapati juragan yang membawa muatan 500 kilogram beras tempatan, 500 kilogram beras siam, 48 kilogram gula pasir berpaket dan empat gelen minyak petrol yang dianggarkanan sebanyak 120 liter itu gagal mengemukakan sebarang permit berkaitan muatan yang dibawa mereka.
Bot kargo bersama juragan itu seterusnya ditahan dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia di bawah Akta Kastam 1967, Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Kawalan Padi dan Beras (Akta 522).
Nilai rampasan termasuk muatan dan bot itu dianggarkan sekitar RM55 ribu.
Ujar Shahrizan lagi, pihaknya juga akan menjalankan siasatan cubaan menyeludup ke negara jiran berikutan kuantiti muatan yang dibawa adalah kuantiti dagangan.
Pelaksanaan penguatkuasaan secara konsisten ini juga dijadikan medium kesedaran dan pendidikan kepada komuniti maritim agar lebih peka dengan kesalahan yang dilakukan dan tidak berulang lagi.
Sebarang maklumat, aduan dan insiden kecemasan di laut, orang ramai boleh menyalurkannya ke talian Pusat Operasi Zon Maritim Tawau 089-752116 atau talian MERS 999.










