KUDAT, 29 MEI – Zon Maritim Kudat telah berjaya mematahkan cubaan seludup daging jenis spesies terancam di perairan Kudat, semalam.
Pengarahnya, Komander Maritim Maurice Grenville Abeyeratne berkata, bertindak atas maklumat sebuah bot ronda Maritim Malaysia yang sedang menjalankan rondaan OP PLUTO TIMUR / OP TIRIS di sekitar perairan Kudat telah diatur gerak ke kawasan pesisir pantai lebih kurang 0.5 batu nautika Timur Laut Kampung Tajau Laut, Kudat bagi memeriksa sebuah bot yang sedang melakukan aktiviti mencurigakan dalam kejadian sekitar pukul 10.27 malam semalam.
Kawasan cetek di kawasan terbabit telah menyukarkan bot ronda untuk menghampiri bot terbabit untuk membuat pemeriksaan. Menyedari kehadiran penguat kuasa Maritim Malaysia, suspek bertindak meloloskan diri di kawasan cetek berhampiran.
Aset dari darat telah diatur gerak ke lokasi untuk membuat pemeriksaan di kawasan terbabit kerana bot ronda tidak dapat merapat di kawasan pantai.
Hasil pemeriksaan menemui sejumlah 51 guni berisi daging penyu kering dianggarkan seberat 765 kilogram. Daripada jumlah terbabit dianggarkan lebih kurang 1,000 ekor penyu telah dibunuh oleh sindiket ini. Selain itu 19 guni balat juga turut ditemui. Kesemua barang yang ditemui dipercayai cuba diseludup untuk pasaran ke negara luar.
Nilai keseluruhan barang rampasan dianggarkan bernilai lebih RM500 ribu. Semua barang rampasan dibawa ke Pejabat Zon Maritim Kudat untuk siasatan lanjut. Kes disiasat dibawah Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 (cubaan menyeludup daging haiwan spesies terancam).
Zon Maritim Kudat menyeru kepada masyarakat khususnya komuniti maritim di Kudat untuk sama-sama membantu Maritim Malaysia dengan melaporkan sebarang salah laku atau kegiatan jenayah yang berlaku di laut kepada Maritim Malaysia di talian 088-611858 (Pusat Operasi Kudat) dan talian MERS 999 yang beroperasi 24 jam.
![]()










