TAWAU, 28 MEI – Zon Maritim Tawau menahan sebuah bot kargo yang membawa muatan pelbagai barang kawalan pada jam 10.00 pagi semalam.
Pengarahnya, Kepten Maritim Shahrizan bin Raman berkata, bot ronda Maritim Malaysia dalam OP PLUTO TIMUR dan OP TIRIS berjaya mengesan sebuah bot kargo mencurigakan bergerak keluar dari Perairan Tanjung Batu menuju ke Perairan Pulau Sebatik.
Pemeriksaan awal ke atas bot yang ditahan di kedudukan 1.5 batu nautika utara Sungai Pukol itu mendapati, seorang lelaki warga tempatan berumur 40 tahun bertindak selaku juragan bot mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.
Hasil pemeriksaan menyeluruh ke atas bot mendapati, bot itu membawa muatan 48 kilogram gula pasir, 34 kilogram minyak masak, dua tong gas LPG dan tiga gelen minyak petrol dalam anggaran 90 liter tanpa sebarang permit yang sah.
Bot kargo, muatan serta juragan bot terbabit seterusnya ditahan dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk siasat di bawah Akta Kastam 1967 dan Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana tidak memiliki permit.
Kesemua barang rampasan termasuk bot kargo, enjin dan muatan yang dianggarkan bernilai RM24 ribu ditahan untuk siasatan lanjut.
Maritim Malaysia akan terus memperkasakan tugas penguatkuasaan dan mengoptimumkan pengoperasian bagi membanteras aktiviti-aktiviti yang menyalahi undang-undang di Zon Maritim Malaysia khususnya di perairan Timur Sabah (ESSZONE) dan sebarang maklumat boleh disalurkan ke talian MERS 999 untuk maklum balas segera.











