LUMUT, 27 MEI – Maritim Negeri Perak menahan sebuah bot nelayan tempatan kelas B di kedudukan 2.1 batu nautika barat laut Tanjung Hantu, dekat sini pada jam 11.45 malam semalam.
Pengarahnya, Kepten Maritim Mohamad Shukri bin Khotob berkata, bot terbabit dikesan ketika sedang leka melakukan aktiviti perikanan oleh pasukan bot ronda Maritim Malaysia di sekitar perairan Perak.
Pemeriksaan mendapati, bot itu dikendalikan oleh seorang tekong serta dua kru warga Myanmar berumur dalam lingkungan 26 hingga 43 tahun.
Pemeriksaan lanjut mendapati bot itu beroperasi kurang lima batu nautika dari pantai.
Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat lesen.
Kesemua nelayan ditahan, manakala bot, hasil tangkapan dalam anggaran 130 kilogram dan peralatan menangkap ikan dirampas sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.
Sebarang laporan, aduan dan insiden kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi Maritim Malaysia di talian Pusat Operasi Maritim Negeri Perak (05-6838737) atau MERS 999 untuk maklum balas segera.













