MERSING, 1 Mac – Zon Maritim Mersing menyelamatkan enam orang pemancing bersama sebuah bot fiber selepas bot dinaiki mengalami kerosakan enjin ketika kesemua mangsa memancing di laut pada kedudukan sekitar lima batu nautika timur laut dari Pantai Bandar Mersing pada jam 6.00 petang semalam.
Pengarah Zon Maritim Mersing, Komander Maritim Suhaizan bin Saadin berkata, bot ronda Maritim Malaysia yang sedang dalam rutin OP JAKSA / OP TIRIS diatur gerak ke lokasi setelah menerima aduan daripada pemilik bot fiber itu.
Walaupun dalam keadaan laut yang bergelora, enam pemancing dalam lingkungan umur 24 hingga 55 tahun berjaya diselamatkan ketika terapung bersama bot fiber terbabit.
Kesemua mangsa dan bot dibawa ke Jeti Awam Mersing pada jam 7.00 petang.
Peringatan mesra kepada semua kaki pancing agar sentiasa menitik beratkan langkah waspada dengan memakai jaket keselamatan dan membawa bersama peranti Personal Located Beacon (PLB) bagi memudahkan pihak Maritim Malaysia mengenal pasti lokasi sekiranya berlaku kecemasan di laut.
Sebarang maklumat, aduan dan insiden kecemasan di laut, orang ramai boleh menyalurkannya ke MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Johor di talian 07-219 9404 untuk maklum balas segera.











