24
Sat, Feb

GAGAL MELAPORKAN KETIBAAN DI PERAIRAN PULAU PANGKOR, KAPAL KARGO DITAHAN

LUMUT, 30 November – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Maritim Negeri Perak telah menahan sebuah kapal kargo yang gagal melaporkan ketibaan di perairan Pulau Pangkor kepada Jabatan Laut Malaysia di kedudukan 14.2 batu nautika barat laut pulau itu sekitar jam 15.01 pada petang Selasa, 28 November lalu.

Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohd Hambali bin Ya’akup berkata, kapal kargo sepanjang 190 meter yang berdaftar di Hong Kong itu telah dikesan pada Jumaat lalu, 24 November ketika sedang bersauh melalui cerapan radar Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) Lumut, Perak.

Tambahnya, walaupun arahan untuk membongkar sauh dan beredar telah dikeluarkan namun kapal itu enggan berbuat demikian.

Bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan OP SAYONG, OP PINTAS, OP TANJUNG dan OP TIRIS telah diatur gerak ke kedudukan kapal kargo itu untuk pemeriksaan.

Hasil pemeriksaan mendapati, kapal kargo itu dikendalikan oleh seorang nakhoda dibantu oleh 21 kru terdiri daripada warga China dan Myanmar telah melakukan kesalahan gagal melaporkan ketibaan kepada Pengarah Laut, Jabatan Laut Malaysia.

Penahanan dibuat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952, Seksyen 449 jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 dan dibaca bersama Kaedah 10(1) Peraturan Pelabuhan Persekutuan 1953 (Report of arrival) yang boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.

Kesemua kru bersama kapal ditahan bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut.

Maritim Malaysia menegaskan kepada komuniti maritim agar sentiasa mematuhi undang-undang yang ditetapkan bagi mengelakkan tindakan diambil.

Sebarang laporan, aduan dan insiden kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi Maritim Malaysia di talian Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-6838737 atau MERS 999 untuk maklum balas segera.

 

WhatsApp Image 2023 11 30 at 11.29.22 AM

hrmis JPA kkdnlogo KSN logo mampu MDEC MyGov SPA tourism malaysia cropped logo SPRM AMSAS
 
APLIKASI ICON    KERJAYA ICON BLUE   ONLINE SISTEM ICON    SEAHAWK ICON BLUE    VIDEO ICON   VIDEO MEDIA BLUE   VIDEO ICON