24
Sat, Feb

MARITIM MALAYSIA GAGALKAN 413 PATI MASUK SECARA HARAM MELALUI SELAT MELAKA

KLANG, 28 November – Maritim Malaysia melaksanakan penguatkuasaan di kawasan perairan Selat Melaka sepanjang tahun ini berjaya menumpaskan 51 kes cubaan menyeludup masuk 413 pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negara ini.

Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Penyelarasan Maritim (BPPM), Laksamana Pertama Maritim Vincent a/l Rajamony berkata, data berkenaan jelas menunjukkan iltizam Maritim Malaysia memastikan Zon Maritim Malaysia (ZMM) selamat daripada ancaman jenayah dan aktiviti salah laku maritim seperti rompakan, pencerobohan bot nelayan asing, penyeludupan barangan kontraban serta kemasukan PATI atau mana-mana pihak melalui jalan laut secara haram.

Beliau menambah, selain rondaan dan operasi secara berterusan, Maritim Malaysia juga melaksanakan latihan berbentuk operasi di laut bagi mengukur kesiagaan dan keupayaan aset-aset Maritim Malaysia dalam melakukan tugasan yang diberikan.

Ujarnya lagi, untuk itu Maritim Malaysia melaksanakan EKSESAIS MARITIM PERKASA BARAT Siri 6/2023 bermula pada 26 November lalu di Klang, Selangor dan bakal berakhir di Langkawi pada 3 Disember depan.

Bakal melalui perairan Selat Melaka sepanjang 630 batu nautika, Vincent memaklumkan eksesais ini adalah kesinambungan daripada kejayaan EKSESAIS MARITIM PERKASA TIMUR 2023 yang diadakan di kawasan perairan Sabah dan Sarawak baru-baru ini.

Turut hadir pada majlis berkenaan Pengarah Ekesais (EXCON), Kepten Maritim Shahref Steve Mac Queen bin Abdullah dan Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Mohd Sharenliza Ghazali.

EKSESAIS MARITIM PERKASA BARAT Siri 6/2023 melibatkan 500 pegawai dan anggota dengan kekuatan 15 aset laut terdiri daripada Kelas OPV (2 unit), Kelas NGPC (2 unit), Kelas GAGAH (1 unit), Kelas RAMUNIA (1 unit), Kelas NUSA (2 unit) dan Kelas TUGAU (7 unit).

Selain itu dua pesawat udara milik agensi iaitu helikopter AGUSTA WESTLAND AW 139 dan AS 365 N3 DAUPHIN turut diatur gerak dalam eksesais ini.

EKSESAIS MARITIM PERKASA BARAT Siri 6/2023 bakal menjalani tiga fasa latihan bermula dengan Fasa Pelabuhan iaitu sesi taklimat siri latihan dan sesi 'Table Top' yang dilaksanakan pada 26 dan 27 November lalu di Klang Selangor.

Selepas fasa berkenaan, pegawai dan anggota akan melalui fasa kedua iaitu Fasa Laut di mana aset-aset yang terlibat akan melakukan pelayaran dari Perairan Klang ke Pulau Langkawi bermula 28 November hingga 1 Disember 2023.

Fasa terakhir merupakan Fasa Penutup Eksesais iaitu sesi Post Exercise Debrief (PXD) akan dilaksanakan di Pejabat Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Langkawi pada 2 dan 3 Disember 2023 bagi melihat pencapaian dan penambahbaikan untuk edisi akan datang.

 

VINCENT PERKASA 3   VINCENT PERKASA 4
hrmis JPA kkdnlogo KSN logo mampu MDEC MyGov SPA tourism malaysia cropped logo SPRM AMSAS
 
APLIKASI ICON    KERJAYA ICON BLUE   ONLINE SISTEM ICON    SEAHAWK ICON BLUE    VIDEO ICON   VIDEO MEDIA BLUE   VIDEO ICON